Hampir 1,000 pekerja tempatan syarikat China Communications Construction Sdn Bhd (CCC-ECRL) telah diberhentikan selepas Projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) ditangguhkan awal bulan ini.

Menurut laporan sebuah portal antarabangsa Channel News Asia (CNA), hanya 30 peratus pekerja di syarikat tersebut merupakan warga asing.

Manakala beberapa pekerja tempatan menerima notis pemberhentian kerja kurang seminggu selepas penangguhan.

Projek pembinaan yang kini mempunyai lapan kem utama termasuk di Bentong, Pahang, sedang ditangguhkan sementara usaha rundingan mengenai kos projek tersebut diselesaikan.

Berdasarkan laporan tersebut, pekerja tempatan yang ditemubual menyatakan rasa terkejut mereka dengan tindakan pemberhentian tersebut.

Media antarabangsa tersebut turut melaporkan bahawa tukang masak, pekerja pentadbiran dan ahli keluarga mereka, serta ahli keluarga jurutera China telah diarahkan pulang ke negara masing-masing.

Memetik laporan sebuah portal kewangan mengenai isu pemberhentian pekerja kontrak, ia dianggap sebagai prosedur operasi standard apabila kontrak pekerjaan adalah berdasarkan kelangsungan projek.

Malah, pekerja yang diberhentikan juga kemungkinan besar telah menandatangani kontrak yang menjelaskan status perkhidmatan mereka jika ia diberhentikan, ditangguh atau berjalan seperti biasa sehingga projek dilengkapkan.

Sumber memberitahu portal tersebut bahawa lebih banyak pemberhentian dijangka akan berlaku tidak lama lagi.

BACA: SPRM ambil dokumen berkaitan Projek MPP, TSGP dan ECRL



Manakala pada 13 Julai lalu, CCC-ECRL telah menangguhkan kontrak pembekalan simen oleh Lafarge Malaysia Bhd bernilai RM270 juta untuk projek ECRL.

Sementara itu, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) telah menasihati CCC-ECRL untuk tidak memberhentikan pekerja secara tergesa-gesa akibat penangguhan projek tersebut.

Dalam surat kepada CCC-ECRL bertarikh 17 Julai, MRL berkata ia sedang memerhatikan tindakan drastik pihak kontraktor (CCC-ECRL), terutamanya isu melibatkan pemberhentian pekerja dalam skala yang besar.

Jelas MRL, ia mewajibkan CCC-ECRL untuk membuat pemberitahuan secara rasmi mengenai setiap pekerja yang telah didaftarkan sebagai ‘person-in-charge’ atau individu yang bertanggungjawab dalam projek tersebut kepada pihak berkuasa tempatan seperti CIDB dan JKKP.

Menurutnya, CCC-ECRL tidak boleh memberhentikan pekerja sewaktu proses penangguhan projek sedang dijalankan untuk mengelakkan sebarang tindakan oleh pihak berkuasa seperti arahan menutup pejabat di lapangan atau tindakan saman.

ECRL dimiliki oleh MRL iaitu sebuah syarikat bertujuan khas yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

MRL sebelum ini mengarahkan kontraktor utama, CCCC menangguhkan semua kerja-kerja kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) serta merta atas sebab ‘kepentingan nasional’.

BACA: Mahathir tidak tahu tentang laporan penglibatan Vincent Tan dalam ECRL

Kementerian Kewangan baru-baru ini mengeluarkan notis penggantungan kerja dan perkhidmatan bagi tiga projek bernilai bernilion ringgit iaitu Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP), Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) dan ECRL.

Ketiga-tiga projek melibatkan kontraktor dari China. Semua kerja digantung berkuat kuasa serta-merta.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka akan melawat China pada bulan Ogos bagi memantau hasil lawatan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin yang berkunjung ke negara tersebut pada Rabu lalu.

Jelasnya, Tun Daim telah membawa perkara penting mengenai kontrak dan kerajaan akan cuba untuk mengurangkan jumlah pinjaman kepada China.