Meskipun isu perkauman sering menjadi perbualan dalam kalangan segelintir rakyat negara ini, namun masih ada yang mahu membuktikan bahawa keharmonian dan kasih sayang masih wujud di kalangan masyarakat berbilang bangsa ini.

Baru-baru ini, perilaku seorang remaja Cina menolong seorang warga emas melintas jalan untuk ke masjid sewaktu solat Jumaat menerima pujian netizen.

Beberapa gambar tular di media sosial selepas ia dikongsikan oleh akaun Rakan Muslimah Al-Falah II pada 13 Oktober lalu.

Berdasarkan gambar itu, remaja berkenaan dilihat bukan sahaja memimpin tangan warga emas itu dari keretanya tetapi turut menggunakan tapak tangan untuk melindungi kepalanya daripada terkena hujan.

Rata-rata netizen yang kagum dengan dengan sikap molek yang ditonjolkan oleh remaja berkenaan dan berkata perbuatan itu sewajarnya dipupuk sejak kecil lagi.

“Apa yang melahirkan sikap remaja ini adalah daripada apa yang dia alami dari kecil sampai sekarang,” kata Joshua Lim.

“Satu contoh yang baik, hidup mesti ada kebaikan dan keikhlasan, baru ada keberkatan” komen Azizah Ahmad.

Malah, ada yang berkata agama bukan penentu perilaku moral manusia, menurut mereka, perilaku yang baik hanya membuktikan sikap keperimanusian seseorang.

"Ini bukan soal bangsa, ini adalah soal sikap sebagai seorang manusia," kata Nur Shakira.

Mohd Yusoff pula berkata, “Tingkah laku yang baik tidak ada kaitan dengan bangsa, ini adalah contoh dia dibesarkan dengan cara yang baik."