Pelabur sedia ada dan bakal pelabur di Johor tidak perlu bimbang mengenai ketegangan antara Malaysia dan Singapura berkaitan sempadan ruang udara dan maritim.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Pelaburan dan Utiliti Antarabangsa Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, beliau yakin kedua-dua kerajaan sedang berusaha menyelesaikan masalah itu.

"Saya fikir ini (ketegangan) sedang ditangani dan kami yakin Kerajaan Persekutuan dan Singapura dapat menyelesaikan perkara ini tidak lama lagi.

"Saya tidak fikir ia akan menjejaskan mana-mana pelabur, terutama dari Singapura," katanya kepada wartawan selepas majlis perasmian Pusat Kecemerlangan DHL Global (GCOE) di sini, pada Selasa.

Turut hadir, Pengarah Urusan GCOE Iskandar Malaysia, Philip Chu dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Bhd (IIB) Datuk Ir. Khairil Anwar Ahmad.

Puah berkata, Johor masih menjadi destinasi pilihan bagi pelabur Singapura.

"Ini jelas kerana Johor telah menjadi hub serantau untuk logistik. Bayangkan, jika anda mempunyai begitu banyak barang dan produk (untuk dijual), salah satu faktor yang perlu anda ambil kira ialah kos (penghantaran ke negara lain).

"Johor hampir dengan Selat Melaka dan dengan infrastruktur saling hubungan kita yang baik seperti rangkaian pengangkutan, pelabuhan dan lain-lain, kita sedang menuju ke arah menjadi hab serantau untuk banyak perkara," katanya.

Sejak beberapa minggu lalu, hubungan antara Malaysia dan Singapura telah digegarkan oleh pertikaian berhubung sempadan udara dan maritim.

Bagaimanapun, Malaysia berkata pada Isnin, negara ini akan mengambil langkah yang berkesan untuk meredakan ketegangan dengan Singapura.

VIDEO: Ketegangan Malaysia-Singapura-apakah hak kedua negara?

Dalam perkembangan lain, Puah berkata, sektor logistik adalah cara Johor untuk membangunkan ekonomi dan melengkapkan kerjasama strategik antara DHL dan IIB dalam menubuhkan GCOE di Iskandar Puteri.

Syarikat terbabit telah melabur lebih daripada AS$2 juta (AS$1=RM4.18) dalam pusat berkenaan.

"Kerajaan negeri Johor akan terus menyokong dan menggalak lebih banyak syarikat awam dan swasta untuk menyokong GCOE pada masa akan datang, dengan itu menjadikan Johor destinasi pelaburan yang menarik," katanya.

GCOE, yang mula beroperasi pada Selasa akan menyediakan perkhidmatan perundingan rantaian bekalan dan menyokong perniagaan dalam mereka bentuk penyelesaian logistik khusus untuk beberapa industri utama di Iskandar, termasuk automotif, tenaga, kejuruteraan, pembuatan, sains hayat, penjagaan kesihatan dan teknologi.

Pusat ini juga mampu menggerakkan cita-cita logistik rantau ini melalui sesi perangkaian dan bengkel di mana syarikat dan pakar industri berkumpul untuk berkongsi amalan terbaik dan mencetuskan idea inovatif yang akan membentuk masa depan Iskandar Malaysia.

-- BERNAMA