Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Pelaburan berterusan bantu kurangkan jurang digital - Faizal Tahir

Pelaburan berterusan bantu kurangkan jurang digital - Faizal Tahir
Penyanyi dan komposer terkenal tanah air, Faizal Tahir berkata usaha melipatgandakan penggunaan teknologi harus dilakukan dengan segera bagi mengelakkan kesan jangka panjang yang menyebabkan lebih ramai pelajar yang tercicir. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan disarankan untuk terus melabur dalam sistem pendidikan negara bagi mengurangkan jurang digital yang nyata antara segenap lapisan masyarakat khususnya tatkala negara dilanda wabak COVID-19.

Penyanyi dan komposer terkenal tanah air, Faizal Tahir berkata usaha melipatgandakan penggunaan teknologi harus dilakukan dengan segera bagi mengelakkan kesan jangka panjang yang menyebabkan lebih ramai pelajar yang tercicir.
“Kita boleh membincangkan perkara ini untuk berjam-jam tetapi akhirnya, kerajaan perlu meneliti dan mengambil berat mengenai perkara ini kerana ia bukan dalam bidang kuasa kami.

“Saya pasti kita mahu generasi seterusnya yang akan memimpin negara ini untuk berpendidikan, berpengetahuan dan mampu untuk berfikir secara kritis.
“Dan kerajaan perlu tahu pentingnya perkara ini dan menitikberatkan perubahan kerana ia luar daripada kawalan orang biasa seperti kami. Jadi pelaburan dalam pendidikan adalah amat penting,” kata Faizal yang merupakan bapa kepada enam orang cahaya mata.

Beliau berkata demikian ketika menjadi anggota panel dalam Webinar Astro AWANI yang berjudul “COVID-19: Mempercepatkan Revolusi Teknologi Pengajaran dan Pembelajaran” pada Selasa.

Pengarah Pemimpin Global School Leaders Malaysia, Cheryl Ann Fernando yang juga merupakan salah seorang anggota panel dalam webinar tersebut senada dengan Faizal dan berkata bahawa pelajar yang sebelum ini ketinggalan dalam pelajaran semakin ketinggalan gara-gara tiada akses kepada internet.

“Sebagai sebuah negara yang maju, Malaysia tiada alasan untuk meminta pelajar kita untuk memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet. Tiada alasan sama sekali.

“Bergerak ke hadapan, saya sangat berharap sesuatu isu itu tidak perlu jadi viral untuk mendapat perhatian orang ramai.

“Saya berharap ia semua berubah dan akses kepada internet menjadi suatu kebiasaan bagi semua,” kata Cheryl.

Baru-baru ini, tular video memaparkan seorang pelajar perempuan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin, yang memanjat pokok untuk mendapatkan capaian Internet bagi menduduki peperiksaan dalam talian.

Webinar berkenaan dikendalikan Editor Kanan Astro AWANI, Dzulfitri Yusop yang turut menampilkan Finalis 50 Guru Terbaik Global Teacher 2020 Norhailmi Abdul Mutalib, guru Siti Faridah Matt dan Timbalan Pengarah Pusat Pengajaran & Pembangunan Kurikulum, UKM Ts. Dr Muhammad Helmi Norman.