'Pelacur WeChat bergerak' didakwa tawar diri untuk aktiviti persundalan

'Pelacur WeChat bergerak' didakwa tawar diri untuk aktiviti persundalan
Tertuduh (kiri) didakwa mencari langganan atau mendesak bagi maksud persundalan di sebuah apartmen di Lorong Minyak Gas di sini pada jam 7.35 malam, 4 Disember lalu. - Foto Astro AWANI
KOTA BHARU: Seorang pemilik kedai kucing dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas tuduhan menawarkan perkhidmatan seks untuk persundalan minggu lalu.

Tertuduh yang berusia 36 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan di hadapan Majistret Mohd Izzuddin Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencari langganan atau mendesak bagi maksud persundalan di sebuah apartmen di Lorong Minyak Gas di sini pada jam 7.35 malam, 4 Disember lalu.

Tertuduh didakwa mengikut seksyen 372 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh memohon jaminan minimum kerana dia adalah anak sulung yang perlu menyara keluarga.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini media melaporkan polis menahan seorang wanita menawarkan perkhidmatan seks melalui aplikasi WeChat di rumah tumpangan di sekitar Kota Bharu.

Siasatan juga mendedahkan tiga wanita ini menjalankan aktiviti pelacuran secara persendirian atau 'freelance' dengan bergerak dari satu negeri ke negeri yang lain bergantung kepada permintaan.

Mereka akan meminta wang RM300 bagi sekali perkhidmatan selepas tawar-menawar melalui WeChat.


Tag: seks, Kota Bharu, mahkamah, wanita, Mahkamah Majistret, pelacuran, tawar seks, WeChat, pemilik kedai kucing



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.