Pasukan polis berjaya menahan seorang gadis berusia 14 tahun yang disyaki cuba menyertai kumpulan militan IS di Syria.

Gadis itu yang juga seorang pelajar itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada petang Selasa ketika dia cuba meninggalkan negara ini untuk ke Syria melalui Mesir.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, pihaknya percaya ada pihak yang menunggu suspek di Mesir.

"Kita percaya gadis ini ada rakan di Mesir yang akan berjumpa dengannya dan bersama-sama ke Syria.

"Gadis ini terpengaruh dengan dakyah dan ideologi militan dan dia membuat keputusan untuk pergi berjihad di Syria," katanya.

Suspek juga dipercayai merancang untuk berkahwin dengan seorang rakyat Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di Mesir sebelum menyusup masuk ke Syria untuk menyertai kumpulan militan.

Suspek yang berasal dari Muar, Johor itu juga merupakan pelajar pengajian agama, di salah sebuah institut Tahfiz di Shah Alam.

Tambah Khalid, pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu yang menjadi dalang merekrut golongan wanita di negara ini untuk menyertai militan di Syria.

Kes kini disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas (SOSMA) 2012.

Khalid ditemui selepas Majlis "Kempen Balik Kampung" sempena Tahun Baru Cina di Plaza Tol Jalan Duta hari ini.