Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Pelajar antarabangsa UMK pilih tidak pulang, manfaat waktu PKP

Pelajar antarabangsa UMK pilih tidak pulang, manfaat waktu PKP
Pelaksanaan PKP memberi peluang pelajar manafaatkan kaedah pembelajaran dan pengajaran menerusi platform digital - Gambar Astro AWANI/Vivi Sumanthi
KOTA BAHRU: Biarpun terpaksa menanggung rindu terhadap keluarga yang jauh di kampung halaman, pelajar antarabangsa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memilih untuk tidak pulang ke negara masing-masing ekoran wabak COVID-19.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan bukan halangan untuk pelajar-pelajar ini meneruskan kehidupan dan menyiapkan tugasan universiti.
Bagi Sanjay Kumar yang berasal dari India yang sedang mengikuti pengajian Doktor Falsafah (PhD) di Kampus Jeli, PKP yang diumumkan oleh kerajaan bukan satu masalah malah memberinya peluang untuk menumpukan perhatian kepada kertas kejian.

"Fokus saya ketika ini kepada kajian akademik. Saya memang rindu pada keluarga tetapi kita semua tahu wabak ini sedang berada di mana-mana sahaja.
"Malah rakan PhD saya dari Bangladesh dan Habsyah turut mengambil keputusan sama. UMK juga memberi bantuan sepanjang tempoh PKP," katanya.

Samsidine Aidara dari Senegal yang juga seorang pelajar dan guru bahasa Perancis sambilan di UMK menyifatkan PKP adalah peluang baginya untuk mendapatkan rehat yang cukup.

"Selain itu, saya juga dapat memanfaatkan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) atas talian sepanjang tempoh PKP ketika berada di rumah.

"Dalam tempoh ini, saya menggunakan kaedah mesyuarat dalam talian menerusi telesidang video untuk terus berhubungan dengan rakan sekerja dan pelajar.

"Biarpun, sudah sebulan tiada kuliah secara bersemuka tetapi semua pelajar tetap diberi tugasan dan kuiz untuk dilakukan dengan pemantauan supaya mereka dapat terus belajar," katanya.

Bagi pelajar Ijazah Sarjana dari Indonesia, Ainnur Shahirah Hashim, sejak pelaksanaan fasa pertama PKP dia sudah memanfaatkan platform digital E-kampus memudahkan komunikasi dua hala atas talian.

“Saya berharap semua menyokong usaha kerajaan untuk  tinggal di rumah dengan selamat bersama keluarga. Kami juga  berterima kasih kepada barisan hadapan Malaysia kerana melindungi dan menyelamatkan banyak nyawa dalam menghadapi pandemik koronavirus ini,” katanya.

Pelajar antarabangsa UMK sehingga kini berjumlah seramai 48 orang dari 18 buah negara.