Pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama akan diberi keutamaan untuk kembali ke sekolah apabila sesi persekolahan mula dibuka nanti.

Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, golongan yang dimaksudkan ialah calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Perdana Menteri berkata, langkah itu bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dapat dipatuhi pelajar.

"Ini untuk memastikan SOP mengenai penjarakan sosial dan penjagaan kebersihan diri yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan dapat dipatuhi.

"SOP ini meliputi prosedur mengenai ketibaan murid di sekolah, pergerakan ke bilik darjah, sususan meja dalam bilik darjah, pergerakan di kantin dan pelbagai aspek lain," katanya dalam Perutusan Khas Sempena Hari Guru yang disiarkan di televisyen pada Sabtu.

Muhyiddin berkata, penularan wabak COVID-19 telah banyak mengubah amalan pendidikan di negara ini.

"Sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan, pengajaran dan pembelajaran tidak lagi dijalankan secara bersemuka, sebaliknya, guru menggunakan pelbagai kaedah lain untuk berhubung dengan pelajar.

"Ramai yang menggunakan aplikasi dalam talian seperti Google Classroom, cikgooTUBE dan Zoom untuk melaksanakan pembelajaran di rumah atau homebased learning.

"Tidak kurang juga cikgu yang menggunakan Whatsapp dan Telegram. Saya diberitahu, ada juga cikgu yang menyampaikan latihan sukan secara online," ujarnya.

Dalam masa sama, Perdana Menteri sedar, masih ada kekangan dalam melaksanakan pembelajaran dalam talian di rumah kerana tidak semua murid mempunyai akses internet yang baik.

"Ramai juga yang tidak memiliki peranti yang sesuai. Untuk pelajar dalam kumpulan ini, saya tahu cikgu telah menggunakan pelbagai kaedah lain.

"Sebagai contoh, ada yang mencetak soalan untuk kerja rumah murid dan bekerjasama dengan PIBG bagi menghantar soalan ke rumah murid. Saya amat terharu dan sangat menghargai kesungguhan para guru dan ibu-bapa kita," ujar beliau lagi.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, proses pendigitalan dengan menggunakan platform dalam talian atau pembelajaran maya akan terus diperkasa.

"Saya percaya pembelajaran maya adalah masa depan dalam pendidikan. Jadi, saya menyeru kepada guru-guru supaya mendalami kemahiran pengajaran secara atas talian dan home-based learning yang merupakan kebiasaan baharu dalam bidang perguruan," kata Perdana Menteri lagi.