Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berpandangan, tidak mustahil untuk mengurangkan unjuran kes dalam fasa ketiga jika semua pihak memberi kerjasama.

Demikian itu, beliau menasihati agar pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersabar bagi tempoh seminggu dua dalam membuat keputusan untuk membawa pelajar di Insititusi Pengajian Tinggi (IPT) pulang ke kampung masing-masing.

“Nasihat kita kepada pihak KPT ialah bersabar mungkin dalam seminggu dua, jadi sekurang-kurangnya dalam tempoh seminggu kita akan melihat data-data yang terkini.

“Jadi kalau kita ada data-data yang terkini untuk tempoh seminggu dalam fasa ketiga, kita boleh menyuarakan nasihat tersebut kepada KPT,” jelas beliau dalam sidang media Kementerian Kesihatan pada Sabtu.

Tambahnya, memandangkan negara kini memasuki fasa penting iaitu fasa ketiga, adalah pentingnya jika pihak kerajaan memperketatkan lagi kawalan dalam menurunkan kes COVID-19.

“Pada unujuran kita, kita mungkin akan berjaya sekiranya semua rakyat malaysia bersama-sama dengan KKM.

“Untuk memastikannya, kita telah memperketatkan tindakan pada Fasa 1 dan Fasa 2.

“Dan semoga tindakan Fasa 3, kita berjaya untuk mengurangkan kes... jadi dalam unjuran, kita tidak mustahil tetapi kita kena berusaha bersama,” tambah Dr Noor Hisham lagi.

Terdahulu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Noraini Ahmad berkata pihaknya akan meneliti kaedah terbaik untuk menghantar pelajar IPT yang berada di kampus untuk pulang ke rumah masing-masing.

Pada masa sama, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, ia melibatkan pergerakan besar dan dibimbangi menjejaskan usaha memutuskan rantaian COVID-19 yang dilakukan ketika ini.

BACA: COVID-19: KPT akan kaji mekanisme bawa pelajar IPT pulang - Noraini Ahmad

BACA: Kerajaan teliti syor KPT hantar pelajar IPT pulang ke rumah