Polis menahan seorang pelajar lelaki Tingkatan Lima yang bertindak menunggang motosikalnya secara melawan arus, ketika cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya.

Tindakannya itu hampir melanggar anggota polis bertugas dalam kejadian di Jalan Sultan Azlan Shah menghala ke lampu isyarat Sungai Tiram, Bayan Lepas dekat sini awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt A.A Anbalagan berkata, dalam kejadian 2.30 pagi itu, sepasukan polis trafik sedang menjalankan sekatan jalan raya di situ sebelum pelajar berusia 17 tahun berkenaan yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y-15 Z telah melawan arus.

"Remaja itu mengalami kecederaan di bibir dan luka geseran di kaki kiri serta lutut akibat merempuh pembahagi jalan, dia kini ditahan di wad Hospital Pulau Pinang," katanya di sini.

Beliau berkata polis turut merampas motosikal remaja itu yang telah diubah suai dipercayai digunakan untuk merempit serta berlumba haram. -- Bernama