"Bukan setakat di Malaysia, malah kemahiran belia tanah air juga diiktiraf di peringkat antarabangsa."

Itu merupakan reaksi Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun mengenai kemenangan yang diraih oleh kontijen Malaysia dalam meraih tiga pingat termasuk satu pingat emas dalam Global Skill Championship 2019 (GSC2019).

Rina juga mengucapkan tahniah kepada peserta yang telah berjaya memenangi acara tersebut yang berlangsung di Melbourne, Australia, sejak 9 April lalu.

"Saya ingin mengucapkan taniah kepada mereka, kerana bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia malah GiatMara juga," katanya selepas merasmikan Perayaan Hari Guru peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada Selasa.

Tambah beliau, setiap pertandingan yang disertai oleh pelajar khususnya pelajar GiatMara merupakan satu platform terbaik buat mereka untuk mempersembahkan kemahiran mereka bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat yang lebih tinggi.

Peserta dari GiatMara Taiping, Perak, Amir Syazwan Saridan, 21, telah berjaya meraih pingat emas bagi kategori pemasangan elektrik.

Manakala pingat perak dimenangi oleh peserta Hanafi Osman, 21, pelajar GiatMara Saratok, Sarawak bagi kategori teknologi fesyen.

GSC 2019 adalah pertandingan kemahiran peringkat dunia yang disertai 16 negara dengan mempertandingkan 24 jenis kemahiran.

Malaysia berjaya menempatkan kontinjennya dengan menyertai sebanyak 13 bidang kemahiran dan GiatMara adalah antara institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang julung kalinya berjaya menempatkan seramai empat peserta dalam pertandingan itu.