Bergelumang dengan lalat. Itulah yang terpaksa dilalui pelajar, guru serta kakitangan di Sekolah Model Khas Bukit Jenun di Pendang, Kedah setiap hari.

Isu lalat menghurung di sekolah itu sejak Jun tahun lalu masih belum ada penyelesaian.

Tidak mahu dipersalahkan, pengusaha kantin, Khoiree Abdullah mengesyaki masalah lalat itu berpunca daripada projek tanaman kelapa sawit yang menggunakan baja tahi ayam.

Menurutnya, keadaan ini membuatkan mereka turut tertekan dengan bau busuk baja tahi ayam tersebut.

“Benda ini tidak habis, saya ingatkan dua tiga hari saja. Macam-macam usaha saya, daun pandan, serai wangi, lilin, lilin serai wangi.

“Jadi bermacam-macam saya cuba bagi menghilangkan lalat ini tapi kita tengok tak kesan lagi,” katanya.

Masalah sama turut diajukan pengawal sekolah, Ismail Mustafa, yang mendakwa dalam sehari lebih 20 kali lori yang membawa muatan sarat tahi ayam itu berulang alik menghantar baja ke ladang berkenaan.

“Lori tu dari pagi sampai petang berulang-alik, kami nak makan pun tak boleh makan dah. Tak selera, lalat ni banyak.

“Ada juga waris yang bersungut, sambal menyoal kenapa tidak diambil tindakan. Kami kata, serah pada pengetua,” jelasnya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Shafie Awang mengakui telah membuat aduan kepada majlis daerah dan Jabatan Alam Sekitar pada 31 Disember lepas.

“Pihak kami dengan keresahan ibu bapa tu diharap pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya untuk menangani isu lalat ini.

“Jadi kerisauan kita juga terhadap pelajar pelajar yang seramai 900 orang itu dengan makan di dewan makan, kantin dan sebagainya yang dipenuhi dengan lalat.

“Kami ibu bapa berasa sangat resah dengan keadaan ini dan ianya berlarutan agak lama, jadi kami berharap tindakan yang sewajarnya dapat dilakukan la,” katanya.