Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Pelajar IPT mula pengajian pada Oktober 2020 - Noraini

Pelajar IPT mula pengajian pada Oktober 2020 - Noraini
Kata Dr Noraini, pelajar boleh menghubungi bahagian hal ehwal pelajar di IPT masing-masing dan diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. - Astro AWANI
PUTRAJAYA: Pelajar institusi pengajian tinggi akan memulakan pengajian mereka semula pada Oktober 2020.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, IPT dan pelajar kini diminta membuat persediaan yang diperlukan mulai dari sekarang.

“KPT berpendapat tempoh hampir tiga bulan yang masih berbaki sehingga semester baharu dimulakan pada Oktober ini adalah mencukupi bagi semua pihak membuat persiapan dan persediaan yang diperlukan.

“Bagaimanapun, pihak KPT dan IPT prihatin mengenai  beberapa masalah yang mungkin terpaksa dihadapi oleh sebahagian pelajar, khususnya yang berkaitan dengan isu-isu penginapan dan tiket penerbangan untuk kembali ke kampus.
“Justeru, semua usaha dan langkah yang diperlukan sedang diambil bagi menangani isu-isu ini,” katanya semasa sidang media pada Rabu.

Dalam pada itu kata Dr Noraini, pelajar boleh menghubungi bahagian hal ehwal pelajar di IPT masing-masing dan diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Semua aktiviti sukan dan riadah perlu mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan aktiviti pelajar dibenarkan dengan syarat aktiviti tersebut tidak melebihi 250 orang tertakluk kepada saiz ruang dan penjarakan sosial,” ujarnya.

Tambahnya, empat lagi kategori pelajar IPT akan ke kampus secara berperingkat mulai Julai 2020.

Katanya, kumpulan ini merupakan tambahan kepada lima kategori pelajar yang telah diberi kebenaran sebelum ini.

“Empat kategori pelajar yang dimaksudkan itu adalah pelajar tempatan di institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) sebanyak tiga puluh peratus seperti yang dimohon oleh Persatuan Kolej dan Universiti Swasta, Pelajar tahun satu, dua, tiga dan empat Universiti Awam dalam bidang pengajian yang memerlukan latihan klinikal, latih amal, praktikal, bengkel, makmal, studio atau peralatan khusus, serta mereka yang perlu menduduki peperiksaan Badan Profesional.

“Selain itu, pelajar tahun satu, dua, tiga dan empat Universiti Awam yang tidak mempunyai akses internet atau persekitaran kondusif, seperti ruang belajar yang sempit atau keadaan yang tidak selesa bagi melaksanakan 5 aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian serta pelajar antarabangsa dari kedua-dua Universiti Awam dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta termasuklah pelajar baharu,” katanya.

Sementara itu jelasnya, pelajar antarabangsa perlu mendaftar dengan pihak Education Malaysia Global Services sebelum diberikan kebenaran masuk ke dalam negara oleh Jabatan Imigresen.

Kata Noraini, seramai 21,000 pelajar antarabangsa berdaftar di IPT dalam negara dengan sebahagian besar adalah dari Pakistan, Indonesia dan Thailand.

“Mereka perlu menjalani ujian PCR atau RTK Antigen dalam tempoh tiga hari sebelum masuk ke Malaysia.

“Mereka juga dikehendaki menjalani saringan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di pintu masuk negara ini dan seterusnya menjalani kuarantin diri selama 14 hari di lokasi yang akan ditetapkan oleh IPT masing-masing,” ujarnya.




Tag: SOP, KBS, Thailand, Pakistan, IPT, Imigresen, operasi, Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Belia dan Sukan, pengajaran dan pembelajaran, Menteri Pengajian Tinggi, Dr Noraini Ahmad, Institusi Pengajian Tinggi, penjarakan sosial



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.