Seorang penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) maut apabila kereta yang dipandunya merempuh pembahagi jalan di kilometer 271.7 di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) .

Kejadian berlaku kira kira jam 10.45 pagi Ahad berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Perasing.

Mangsa Siti Naaima Samsuni, 19 penuntut semester empat Jurusan Pentadbiran Awam dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan.

Mangsa kemudiannya terhumban kira-kira 3 meter dari kenderaan jenis Perodua Myvi yang dipandunya.

BACA: 849 kemalangan, 36 kematian di LPT2 sehingga November

BACA: Empat parah bas rombongan lawatan pelajar kemalangan di LPT2

BACA: Enam sekeluarga maut dalam kemalangan di LPT2

Difahamkan ketika kejadian Siti Naaima bersama Roslan Ali, 19, dalam perjalanan pulang ke kampusnya di Universiti Teknologi MARA Raub, Pahang selepas menghabiskan cuti hujung minggu bersama bekas rakan sekolej mereka di Dungun, Terengganu.

Mangsa yang terhantuk pada batu konkrit jambatan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Bagaimanapun, rakannya Roslan Ali, yang berada di bahagian penumpang hadapan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat .

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitenden Mohd Said Ibrahim mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian terbabit.

Kes akan disiasat dibawah Seksyen 41 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987.