Seorang penuntut latihan industri ditemui lemas selepas tergelincir ke dalam sebuah longkang dalam kejadian di kampung Geliga Che Akob, di sini malam tadi.

Mayat Che Muhammad Sayuti Che Jusoh, 20, ditemukan terdampar di dasar longkang oleh pasukan penyelam pada jam 12.50 awal pagi tadi.

Mangsa yang merupakan pelajar jurusan Sijil Teknologi Pembuatan Plastik di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Marang dipercayai terjatuh ke dalam longkang tersebut ketika memancing kira-kira jam 11.50 malam, Jumaat.

Bagaimanapun mangsa yang sedang mengikuti latihan industri di sebuah kilang di kawasan Perindustrian Kemaman dikatakan tergelincir ketika membetulkan tali pancingnya.

Mangsa yang dikatakan tidak tahu berenang itu juga dikatakan terjatuh pada ketinggian kira-kira dua meter.

Rakan mangsa Mohd Syafiq Yusni, 21, cuba menghulurkan bantuan bagi menyelamatkan mangsa namun gagal sebelum memaklumkan kepada penduduk setempat.

“Pada mulanya dia (mangsa) sedang mengail sebelum tali kail tersangkut. Dia turun perlahan-perlahan nak betulkan tali sebelum tergelincir dan jatuh ket engah (longkang). Kami hendak selamatkan tetapi kami pun tidak pandai berenang juga,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Yahaya Hanafi memaklumkan seramai 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian termasuk empat penyelam.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk di bedah siasat.