Pelajar Malaysia di Medan meninggal dunia

Pelajar Malaysia di Medan meninggal dunia
Pengarah Education Malaysia di Indonesia (EMI), Prof Madya Dr Mior Harris Mior Harun, berkata Allahyarham dimasukkan ke hospital itu semalam, dan disahkan meninggal akibat "Diphtheria Tonsilitis". - Foto BERNAMA
SEMARANG (Jawa Tengah): Seorang pelajar Malaysia meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada tonsil di Medan, Sumatera.

Nurul Arifah Ahmad Ali, 20, pelajar Fakulti Kedoktoran, Universiti Sumatera Utara, disahkan meninggal dunia jam 2.30 pagi tadi di Rumah Sakit Umum Pusat (Hospital) H. Adam Malik, Medan.

Pengarah Education Malaysia di Indonesia (EMI), Prof Madya Dr Mior Harris Mior Harun, berkata Allahyarham dimasukkan ke hospital itu semalam, dan disahkan meninggal akibat "Diphtheria Tonsilitis".

"Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) di Medan sedang menguruskan hal berkaitan dokumentasi.

"Keluarga Allahyarham juga kini berada di Medan dan pihak konsulat Malaysia di Medan sedang menguruskan penghantaran jenazah ke Malaysia," katanya kepada Bernama pada program lawatan Delegasi Kedutaan Malaysia yang sedang mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020 di Semarang-Solo-Yogyakarta.

Ditanya sama ada kejadian itu berkaitan jerebu teruk di Sumatera, Mior Harris berkata berdasarkan laporan pihak berkuasa Indonesia, kualiti udara di kota Medan masih baik.

Menurut media Indonesia, kota Medan dilaporkan masih bebas daripada jerebu apabila ramai penduduk di provinsi Riau, Pekanbaru dan Jambi yang ketika ini teruk dilanda jerebu, berpindah atau bercuti sementara ke Kota Medan.

"Ketika ini, hanya kualiti udara di provinsi Pekanbaru dan Jambi dikategorikan sangat tidak sihat. Pelajar Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim, Pekanbaru telah diarahkan bercuti sejak 13 Sept lepas. Terdapat seramai 214 pelajar Malaysia berada di universiti tersebut," katanya.

Beliau berkata Universitas Islam Negeri Sultan Thaha Saifuddin di Jambi yang mempunyai 110 pelajar Malaysia pula masih beroperasi seperti biasa.

-- BERNAMA


Tag: Pelajar Malaysia, Pengarah Education Malaysia di Indonesia EMI, Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia PKPMI, meninggal dunia, Malaysia, Indonesia, Nurul Arifah Ahmad Ali



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.