Kementerian Luar Negeri mengesahkan bahawa seorang pelajar Malaysia, S. Uthaya Kumar meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Chitradurga, Karnataka, India pada 27 Januari.

Dalam satu kenyataan Kementerian Luar menjelaskan, mendiang Uthaya merupakan pelajar tahun ketiga tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) di Kolej Perubatan Manipal Melaka (MMMC) - Kampus Manipal Campus.

"Mendiang meninggal dunia apabila motosikal yang diboncengnya terlibat dalam kemalangan maut dengan sebuah bas antara jam 11.00 malam ke 12.00 tengah malam di Chitradurga.

"Lokasi kemalangan terletak kira-kira 600 kilometer barat dari Chennai. Mendiang telah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kerajaan Chitradurga," jelas kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu lagi, Pegawai Konsular dan Pegawai JPA dari Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai sudah ke Hospital Kerajaan Chitradurga untuk melawat dan menguruskan jenazah.

"Kementerian Luar Negeri dan Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan bersedia untuk memberikan bantuan konsular kepada keluarga mendiang," jelas kenyataan itu.