Mayat seorang pelajar tingkatan dua yang dikhuatiri lemas ketika menyertai aktiviti perkhemahan di Sungai Chiling, Kuala Kubu Bharu semalam, ditemui kira-kira pukul 10.35 pagi ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata mayat Anis Fatihah Hishamuddin, 14, dijumpai kira-kira 500 meter dari kawasan dia dilaporkan hilang.

"Mayat pelajar itu ditemui pasukan penyelamat pagi tadi dan akan diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan susulan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilakukan awal pagi tadi disertai sejumlah 53 anggota terdiri daripada Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), Bomba dan Penyelamat, polis dan orang awam.

Mohd Sani berkata Anis Fatihah dilaporkan hilang ketika menyertai perkhemahan di Sungai Chiling dan pihaknya menerima panggilan kehilangan mangsa pada pukul 3.20 pagi.

Difahamkan, seramai 47 pelajar menyertai perkhemahan itu anjuran Biro Agama UMNO Bahagian Bandar Tun Razak. -- Bernama