Seorang pelajar perempuan sekolah menengah antara 46 orang yang ditahan polis ketika sedang menghadiri satu parti liar di sebuah inap desa di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohamad Taib berkata dalam serbuan di premis di Jalan Regat Muzaffar Shah, Assam Kumbang pada pukul 8.15 pagi tadi, mereka yang ditahan terdiri daripada 14 perempuan dan 32 lelaki berumur antara 17 hingga 24 tahun.

"Pemeriksaan di dalam premis menemukan pelbagai jenis dadah termasuk daun kering dipercayai ganja. Ujian saringan air kencing telah dijalankan dan mendapati 34 daripada yang ditahan positif dadah," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Mohamad berkata pihaknya juga telah menahan seorang lelaki warga India yang mengaku sebagai penganjur dan penyewa premis terbabit.

Mohamad berkata pihak polis turut dirampas peralatan muzik kerana pemeriksaan mendapati premis terbabit tidak mempunyai lesen sah menjalankan aktiviti pusat hiburan.

Menurutnya kes itu disiasat di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 6 ADB , Seksyen 15 (1) ADB dan Seksyen 6 (1) Enakman Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Perak 1997.

--BERNAMA