Dua remaja perempuan yang dilaporkan hilang selepas meraikan Tahun Baru Tamil telah selamat ditemui.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din dipetik The Star berkata, kedua-dua mereka sedang ditemu bual polis ketika ini.

"Kami akan hantar mereka untuk menjalani pemeriksaan perubatan selepas mengambil keterangan mereka.

"Kita akan tahu lebih banyak lagi selepas bercakap dengan mereka," katanya kepada akhbar itu ketika dihubungi.

Terdahulu hari ini, M. Divyaa, 16 tahun, dan N. Natshatra, 15 tahun, dilaporkan hilang selepas kali terakhir ditemui di Kondominium Maxwell Towers di Jalan Gasing Indah, Petaling Jaya, kira-kira jam 11.40 malam pada Ahad (14 April).

Kedua-dua gadis itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Assunta, Petaling Jaya, telah pergi ke kuil di sekitar rumah Natshatra di kondominium tersebut pada Ahad untuk meraikan sambutan Chitthirai Puthandu.

Kehilangan mereka dilaporkan oleh ibu Natshatra, Shanti Theshaja.

Sebentar tadi, Shanti mengesahkan dua remaja itu telah ditemui dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat membantu.

"Polis baru sahaja sahkan kedua-dua mereka telah ditemui. Saya akan menemui mereka sekarang," katanya.