Tutup

Pelajar Tingkatan 3 sempat urut nenek sebelum maut

Pelajar Tingkatan 3 sempat urut nenek sebelum maut
Keadaan di lokasi kemalangan di Kilometer 4.1 Jalan Pontian Besar/Parit Sikom petang semalam. (Gambar kecil: Hafizuddin Nabil Azmaraimi) - Foto Sinar Harian
PONTIAN: "Arwah anak dan cucu yang baik, malah bercita-cita lanjutkan pelajaran dalam bidang masakan kerana itu minatnya," kata Subahir Abd Rahman, 72, datuk kepada pelajar tingkatan tiga yang maut dalam nahas di Kilometer 4.1 Jalan Pontian Besar/ Parit Sikom di sini petang semalam.

Dalam kejadian 4.52 petang itu, Hafizuddin Nabil Azmaraimi, 15, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal ditungganginya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta Proton Saga.

Subahir yang tinggal di Kampung Api-Api berkata, cucunya yang bakal menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) hujung bulan ini sempat mengurut kaki neneknya pada malam sebelum hari kejadian.
"Arwah anak sulung daripada dua beradik memang taat dan sering membantu ibunya, Suriani, 35. Memang terasa kehilangannya namun kami reda,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, kemalangan berlaku semasa mangsa menaiki motosikal bersama rakannya dari arah Pontian Besar menghala ke Parit Sikom.
"Tiba di lokasi, pemandu kereta yang juga seorang wanita berusia 52 dari arah sama ingin memasuki lorong sebelah kiri kerana hendak balik ke rumah tiba-tiba dilanggar oleh motosikal mangsa di bahagian sebelah tepi kiri yang datang dari arah belakang.

"Akibat dari pelanggaran itu, penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian.

"Pembonceng motosikal mengalami luka kecil manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan," katanya.

Mustafa berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Tag: kemalangan, maut, meninggal dunia, wanita, pelajar, mangsa, siasatan, Hafizuddin Nabil Azmaraimi, kemalangan motosikal, Kampung Api-Api, nahas, pelajar maut


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.