Pelajar tingkatan 6 mengaku bersalah miliki bom tangan

Pelajar tingkatan 6 mengaku bersalah miliki bom tangan
Tertuduh, Mohd Hafizi Mat Jusoh, 19, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin. - Foto Astro AWANi/Muhafandi
KOTA BHARU : Seorang pelajar lelaki tingkatan enam mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini atas pertuduhan memiliki dua butir bom buatan sendiri untuk digunakan sebagai serangan di Pesta Arak 'Better Beer Festival 2017', Oktober lalu.

Tertuduh, Mohd Hafizi Mat Jusoh, 19, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut kertas pertuduhan, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Aman itu didakwa memiliki dua butir bom "improvised explosive device (IED)’ dengan menyalahi undang-undang di sebuah rumah di Kampung Merkang, Pasir Puteh, 6.05 petang, pada 10 Oktober 2017.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara hingga 14 tahun dan sebat tidak kurang enam kali.

Mahkamah menetapkan 6 Disember depan sebagai tarikh jatuh hukum.

Tertuduh juga berdepan empat pertuduhan lain iaitu terbabit dengan aktiviti pengganas daish.

militan, bom daish, dakwa
Di mahkamah yang sama, dua tertuduh, Azmi Ahmad Rosli, 24, dan Mahadi Ibrahim, 34, masing-masing berdepan tiga pertuduhan dan dua pertuduhan terbabit dengan daish. - Foto Astro AWANI/Muhafandi
 
Empat pertuduhan itu, remaja itu didakwa memberi latihan menerusi Whatsapp; hadir di tempat latihan pengganas; memaparkan bahan berkaitan kumpulan pengganas serta memiliki gambar, video dan dokumen bersabit kumpulan pengganas daish.
 
Kesalahan berkenaan,dia didakwa masing-masing mengikut Seksyen 130f(A), Seksyen 130fb(1)(a), Seksyen 130jb(1)(a) dan Seksyen 130jb(1)(b).

Di mahkamah yang sama, dua tertuduh, Azmi Ahmad Rosli, 24, dan Mahadi Ibrahim, 34, masing-masing berdepan tiga pertuduhan dan dua pertuduhan terbabit dengan daish.

Bagaimanapun, tiada keterangan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh berkaitan kumpulan daish.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor.

Mahkamah menetapkan 6 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan memindahkan pertuduhan membabitkan kumpulan daish ke Mahkamah Putrajaya.