Polis memberkas dua remaja dalam dua serbuan berasingan Op Lejang, termasuk seorang pelajar Tingkatan Empat, kerana disyaki memiliki komponen motosikal curi yang telah dileraikan.

Pelajar berumur 16 tahun itu ditahan di Kampung Kandang Hilir Kota Lama Kanan di sini, kira-kira pukul 5.30 pagi Jumaat.

Terdahulu pada Khamis, polis menahan seorang penganggur berusia 15 tahun di sebuah rumah di Kampung Kledang, Kota Lama Kanan, kira-kira pukul 9.30 malam.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Razali Ibrahim berkata, dalam tangkapan pertama itu, pegawai polis bersama anggota Jabatan Siasatan Jenayah turut merampas komponen motosikal yang telah dileraikan di rumah tersebut.

Menurutnya, antara komponen motosikal yang dirampas ialah rangka, kulit enjin, rim, raga, tangki minyak, ekzos dan penghadang angin.

"Semakan ke atas nombor casis dan nombor enjin yang dijumpai mendapati ia masih dilaporkan hilang bersabit kehilangan sebuah motosikal di Masjid Kota Lama Kiri pada 1 Februari lalu," katanya kepada media di sini pada Jumaat.

Beliau memberitahu, kedua-dua remaja itu direman empat hari sehingga Selasa (12 Feb).

Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Bernama melaporkan, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Narkotik Kuala Kangsar membuat serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Ujib Kati di sini sebelum itu kira-kira pukul 12 tengah malam dan menahan dua lelaki.

Razali berkata hasil pemeriksaan menemukan dadah jenis heroin dengan anggaran berat keseluruhan 5.07 gram, satu keratan kertas timah, dua gulungan kertas disyaki alat untuk menghisap dadah dan satu pemetik api.

Menurutnya ujian air kencing ke atas kedua-dua lelaki yang merupakan pengganggur berumur 33 tahun dan 40 tahun itu positif morfin.

Katanya, siasatan mendapati kedua-duanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan pihak polis akan memohon reman untuk membantu siasatan mengikut seksyen 39(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.