Seorang pelajar Tingkatan Satu di Besut putus lima jari tangan kanan selepas terkena mercun pada petang Isnin.

Kejadian kira-kira 5.30 petang itu menyebabkan mangsa Syafiq Haikal Shaharrudin cedera parah di pergelangan tangan kanan dan putus kesemua jari.

Ketika kejadian mangsa dikatakan bermain mercun bersama lima lagi sepupu dan adiknya di luar rumahnya di Kampung Kubang Ikan di Kampung Raja, di sini.

Menurut ibu mangsa, Zainab Mohd ketika kejadian dia sedang memasak sebelum dimaklumkan sepupunya yang memberitahu Syafiq Haikal cedera terkena mercun.


Katanya sebelum itu dia terdengar bunyi letupan kuat namun tidak menyangka bunyi itu menyebabkan kecederaan pada anaknya.

Panik dengan kejadian itu dia terus mendapatkan anak kedua daripada empat beradik itu dan membalut tangan anaknya yang cedera dengan kain.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan.

Insiden itu juga menyebabkan adik mangsa Shahrul Shaharrudin, 10, turut mengalami kecederaan ringan pada bahagian belakang badan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

Katanya, mangsa berada dalam keadaan sedar dan stabil dan ini merupakan kes pertama di Besut.