Seorang pelajar Tingkatan Satu kritikal manakala tiga rakannya termasuk dua kanak-kanak berusia 11 tahun parah selepas dilanggar sebuah kereta ketika menjalankan aktiviti riadah bersama-sama rakan-rakan di jejambat Jalan Permatang Batu, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Rusli Mohd Noor berkata dalam kemalangan kira-kira pukul 11.20 malam itu, empat mereka menunggang tiga buah basikal di kawasan berkenaan sebelum dirempuh kereta dipandu seorang wanita berusia 26 tahun.

"Ekoran kemalangan itu, Mohd Nur Amier Ishak, 13, mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan termasuk kepala dan sedang dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) serta dilaporkan dalam keadaan kritikal.

"Rakannya Amirul Haiza Hakimi Abdullah Sani, 14, yang patah kaki kanan dan turut mengalami kecederaan parah juga dihantar ke hospital sama bagaimanapun dia dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata dua lagi rakan mereka iaitu Muhammad Nasrul Hisham Muhammad Nazri dan Mohd Alif Rosdi, masing-massing berusia 11, yang mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dirawat di Hospital Bukit Mertajam (HBM), di sini.

Rusli berkata hasil siasatan awal mendapati empat murid sekolah tu sedang menunggang basikal di Jalan Permatang Rawa menghala ke Jalan Permatang Batu sebelum tiba-tiba sebuah kereta yang datang dari Jalan Sungai Rambai telah melanggar mereka.

Pemandu kereta itu dipercayai dalam perjalanan balik ke rumahnya di Butterworth dan wanita berkenaan tidak mengalami kecederaan, katanya.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kemalangan itu disiasat menurut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, saksi kejadian yang juga rakan kepada empat mangsa berkenaan Muhklis Haris Mokhtar, 13, berkata semasa kemalangan terbabit dia bersama dua lagi rakan sedang menunggang basikal di atas jejambat yang sama bagaimanapun mereka berada di hadapan.

"Waktu itu kami semua sudah hendak balik ke rumah masing-masing sebelum tiba-tiba sebuah kereta datang dan langgar mereka, ketika itu kami agak jauh daripada mereka kalau tidak mesti kena langgar sama," katanya ketika ditemui di HSJ di sini.