Pelajar tahun akhir Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Tuan Ahmad Amar Tuan An, 23 tahun, yang dipercayai hilang sejak Khamis, ditemui selamat hari ini.

Timbalan Naib Canselor UniMAP Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan memaklumkan, pelajar berkenaan ditemui dalam keadaan keletihan di Masjid Al Mustaqim, di sini, pada jam 7 pagi.

Enggan mengulas lanjut, beliau berkata, pelajar terbabit bagaimanapun telah dibawa pulang ke Gerik, Perak, oleh ahli keluarganya.

Pada Jumaat, polis mengambil tindakan awal untuk mengesan Tuan Ahmad Amar yang dipercayai hilang, sementara menunggu laporan kehilangannya dibuat keluarga pelajar berkenaan.

Ia selepas tular perkongsian di media sosial tentang kehilangan pelajar berkenaan, yang dikatakan tidak pulang ke kediaman pelajar Unicity Alam di Sungai Chuchuh, Padang Besar, sejak jam 8 malam Khamis.

Usaha astro AWANI menghubungi keluarga pelajar terbabit bagaimanapun gagal.