Pelakon Farid Kamil mengaku tidak bersalah sebabkan kecederaan dan guna kekerasan

Pelakon Farid Kamil mengaku tidak bersalah sebabkan kecederaan dan guna kekerasan
Farid 37 tahun sebelum itu tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya sekitar jam 10.55 pagi. - Foto Bernama
PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah filem, Farid Kamil hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas empat pertuduhan termasuk mendatangkan cedera dan menggunakan kekerasan jenayah Khamis lepas di Balai Polis Kota Damansara.

Farid 37 tahun sebelum itu tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya sekitar jam 10.35 pagi.
Dia telah ditahan reman selama lima hari sejak Jumaat lalu dan tempoh reman tamat hari ini bagi membantu siasatan.

Suami kepada pelakon popular Datin Diana Danielle itu diiringi anggota polis dibawa ke bilik reman pada jam 10.40 pagi sebelum dibawa ke bilik bicara pada jam 11.24 pagi.

Turut hadir mengikuti prosiding di dalam bilik bicara adalah Diana serta dua adik lelaki Farid iaitu Dr Anis Anwar Zahari dan Fadzil Bahari Zahari yang merupakan suami kepada pelakon Yana Samsudin.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Farid didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Ashraf Ahmad, 35 tahun seorang eksekutif akaun syarikat swasta dan seorang anggota polis, Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 24 tahun.