Pelakon dan penggiat seni, Khalid Salleh, 70 tahun menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Ampang Puteri, di sini hari ini.

Perkara itu disahkan anak lelaki allahyarham, Israr Khalid ketika dihubungi Astro AWANI.

“Bapa saya sakit dan menghadapi kesukaran untuk kencing sejak tahun lepas. Arwah telah terlantar seminggu selepas pembubaran parlimen.

“Sejak dua hari lepas, arwah rasa sukar untuk bernafas. Pagi tadi kami dapat memujuk arwah untuk ke hospital dan terus dimasukkan ke ICU (Unit Rawatan Rapi).

“Doktor mengesyaki arwah dijangkiti Tuberkulosis (TB). Kuman sudah merebak ke paru-paru dan tulang,” katanya.

Jenazah Allahyarham akan dimandikan dan disembahyangkan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas sebelum solat maghrib.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham pernah dinobat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke 43 di Taipei pada tahun 1998 menerusi filem Jogho.

Allahyarham merupakan pelakon lelaki kedua menerima pengiktirafan itu selepas Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Allahyarham juga merupakan penulis buku berjudul Melayu Hilang di Dunia.