Kementerian Pertahanan menafikan dakwaan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz bahawa terdapat sebuah syarikat yang terdiri daripada tiga individu mengawal pelaksanaan projek oleh kementerian itu mengikut kaedah 'land swapping'.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, kementerian itu berkata dakwaan Rafidah bahawa keseluruhan tanah Persekutuan yang diguna pakai Kementerian Pertahanan dipindah milik kepada syarikat dimiliki tiga individu itu juga adalah tidak benar.

"Lantikan syarikat bagi melaksanakan projek pembangunan di bawah Kementerian Pertahanan termasuk kaedah penswastaan secara 'land swap' adalah mengikut prosedur yang ditetapkan di bawah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS)," kata kementerian itu.

Kenyataan itu menyebut setiap projek pembangunan dilaksanakan oleh syarikat yang berlainan dan tidak mempunyai sebarang kaitan antara satu sama lain.

Menurut kenyataan itu, setiap projek pembangunan melalui kaedah penswastaan secara 'land swap' yang dilaksanakan kementerian perlu dibincangkan terlebih dahulu di peringkat jawatankuasa kementerian dan jawatankuasa UKAS sebelum diangkat kepada Jemaah Menteri untuk mendapat kelulusan prinsip.

"Setelah kelulusan prinsip diperoleh, cadangan projek pembangunan tersebut perlu mendapat perakuan daripada Jawatankuasa UKAS yang dipengerusikan Ketua Pengarah UKAS dan Jawatankuasa Tertinggi Awam Swasta yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara.

"Proses ini melalui pelbagai peringkat dan saringan sebelum dibawa semula ke Jemaah Menteri untuk diteliti satu persatu sebelum kelulusan pelaksanaan," kata kementerian itu.

Menurut kenyataan itu, tanah-tanah Kementerian Pertahanan yang terlibat dengan kaedah 'land swapping' dilaksanakan setelah mendapat persetujuan 'end user' seperti Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Pertimbangan penempatan kem-kem mengambil kira lokasi strategik, keselamatan kem, kesesuaian dengan tugas-tugas operasi serta keselamatan penduduk. Kem-kem perlu ditempatkan semula di kawasan-kawasan yang sesuai," kata kenyataan itu.

Sabtu lalu, Rafidah menerusi 'Surat Terbuka Untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak' yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, menyatakan perdana menteri selaku menteri pertahanan pada 2008 telah mengesyorkan penswastaan lebih 40,000 hektar tanah ATM kepada sebuah syarikat milik tiga individu dan telahpun diluluskan serta dilaksanakan.

-- BERNAMA