Kerajaan diseru agar memperluaskan capaian internet dan infrastuktur berkaitan perkhidmatan komunikasi itu di negeri Sabah seiring dalam Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Menurut Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah, Azhar Mutassin, capaian internet merupakan isu yang telah lama membelenggu Negeri Bawah Bayu itu sekali gus merencatkan usaha ke arah ekonomi digital yang kian berkembang ketika krisis kesihatan COVID-19.

"Bandar-bandar besar seperti Kota Kinabalu dan Tawau mungkin telah boleh dilaksanakan dengan baik, tetapi saya amat risau dengan kawasan luar bandar dan pedalaman yang mana capaian internet masih terlalu jauh ketinggalan, bukan sahaja perniagaan malah pendidikan.

"Bila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, pendidikan pelajar hadapi dua isu -- capaian internet dan ketiadaan peranti elektronik yang mana jumlah penduduk di Sabah memiliki komputer riba masih jauh ketinggalan.

"Perkara ini telah lama kita alami. Contoh satu lagi, peniaga di Tamu, mereka ini kurang peka terhadap IT sukar untuk mereka terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bergerak ke arah ekonomi digital kerana ketiadaan internet dan infrastuktur perkhidmatan komunikasi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Awani Pagi Segmen Realiti Rakyat pada Khamis.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz pada Selasa menyatakan perdana penteri akan membentangkan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek tidak lama lagi.

Pelan itu akan tetap tertumpu kepada tiga matlamat utama iaitu memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsangkan ekonomi.

Dalam merangka pelan ini bagi tempoh Jun hingga Disember 2020, pendekatan kerajaan juga merangkumi komunikasi menyeluruh dan capaian meluas.

Mengulas lanjut, ADUN Karambunai ini juga berkata beliau berharap kerajaan terutama sekali Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dapat melihat kepada perkara ini.

"Perkara ini bukan baru, dari dulu lagi sejak beberapa tahun masih ramai antara kita (rakyat Sabah) ketinggalan dari segi itu," jelasnya.