Tutup

Pelan tindakan pelancongan bakal sedia kemudahan bertaraf dunia di Langkawi - Najib

Pelan tindakan pelancongan bakal sedia kemudahan bertaraf dunia di Langkawi - Najib
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada majlis perasmian St Regis Langkawi malam ini yang disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. - fotoBERNAMA
LANGKAWI: Pelan tindakan pelancongan Langkawi yang berikutnya akan membuka laluan kepada pembinaan lebih banyak kemudahan bertaraf dunia di pulau pelancongan ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata selain itu, acara konvensyen dan sukan antarabangsa akan ditingkatkan dalam usaha untuk menarik lebih ramai pelancong mewah ke Langkawi.

"Semasa saya melancarkan pelan tindakan (yang pertama) lima tahun lepas, saya merancang supaya Langkawi dibangunkan ke tahap yang lebih tinggi.

"Hari ini, kita lihat perancangan itu berjalan dengan lancar," katanya ketika berucap pada majlis pembukaan Hotel St Regis Langkawi di sini.
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan merasmikan pembukaan hotel enam bintang itu.

Najib berkata sebuah pusat kosmetik juga akan dibangunkan di Langkawi dan meminta supaya perancangan itu dilaksanakan dengan cara yang kreatif.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) dan Hotel St Regis Langkawi adalah antara infrastruktur bertaraf dunia yang siap dibangunkan di bawah Pelan Tindakan Pelancongan Langkawi pertama yang dilancarkan beliau pada 2011.

Menurutnya pembinaan jenama hotel bertaraf tinggi di Langkawi dijangka membuka peluang pekerjaan bergaji tinggi terutamanya untuk penduduk tempatan.

"Saya sangat gembira kerana St Regis mengambil bekerja 80 peratus penduduk tempatan Langkawi dan (bahagian lain) Kedah," kata beliau.

Perdana menteri berkata kejayaan pelan tindakan pelancongan seterusnya memerlukan kerjasama yang kukuh di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah serta sektor swasta.

"Saya berharap kita dapat bekerja bersama-sama untuk memastikan pembangunan berikutnya dalam membawa Langkawi ke tahap pelancongan yang lebih tinggi dapat dicapai," kata Najib.