Pelancong disaran elak masuk ke kawasan tumpuan Melaka pada waktu puncak

Pelancong disaran elak masuk ke kawasan tumpuan Melaka pada waktu puncak
Tarikan luar biasa di bandar raya Melaka menimbulkan masalah baharu iaitu kesesakan lalu lintas pada waktu puncak. - Gambar fail
MELAKA: Orang ramai dan pelancong di Melaka disaran untuk tidak memasuki kawasan tumpuan pada waktu puncak bagi mengelakkan masalah tersangkut dalam kesesakan jalan raya, kata Ketua Polis Negeri Datuk Chuah Ghee Lye.

Katanya zon warisan di Bandar Hilir, Melaka Raya dan kawasan lain di Bandaraya Melaka adalah kawasan tumpuan utama pelancong dan mereka yang mahu masuk ke kawasan ini disaran menggunakan pengangkutan awam atau datang pada waktu bukan puncak.

Beliau berkata kesesakan jalan raya tidak dapat dielakkan di negeri ini terutama tiba musim perayaan, cuti sekolah atau hujung minggu, justeru orang ramai dan pelancong perlu merancang perjalanan mereka dengan lebih baik.

Bercakap kepada pemberita selepas melepaskan kira-kira 300 peserta program Melaka Car Free Zone di Menara Tamingsari, Bandar Hilir di sini hari ini, beliau berkata polis sentiasa memantau keadaan aliran trafik di seluruh negeri bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Beliau berkata kerajaan negeri juga sedang berusaha menaik taraf sistem pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas serta memberi keselesaan kepada orang awam.

"Apabila siap nanti saya harap lebih orang ramai dan pelancong boleh menggunakan pengangkutan awam yang disediakan seterusnya boleh mengurangkan kesesakan jalan raya yang dihadapi kini," katanya.