Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Pelancong guna eNTRI tetap tertakluk peraturan sedia ada - KDN

Pelancong guna eNTRI tetap tertakluk peraturan sedia ada - KDN
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pengecualian visa bagi pelancong India dan China bagi lawatan tidak melebihi 15 hari di Malaysia. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Electronic Travel Registration and Information (eNTRI) bagi pelawat dari Republik Rakyat China (RRC) yang berkuat kuasa pada 1 Januari hingga 31 Disember 2020 tidak akan menyebabkan lebih ramai warga asing tinggal lebih masa di negara ini.

Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan hari ini berkata, walaupun diberikan kelonggaran, pelancong masih tertakluk kepada semua peraturan, prosedur dan kawalan imigresen.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pengecualian visa bagi pelancong India dan China bagi lawatan tidak melebihi 15 hari di Malaysia.

Kenyataan itu berkata, pelancong masih boleh dilarang masuk sekiranya tergolong di dalam senarai hitam, senarai syak atau senarai imigran terlarang.
Setiap pelancong juga masih perlu mengisi maklumat mereka di dalam sistem yang disediakan bagi tujuan pemantauan dan pengesahan.

"Walaupun kerajaan telah memberikan kemudahan pengecualian visa kepada warganegara China dan India, namun pelancong dari kedua-dua negara berkenaan perlu melengkapkan pendaftaran maklumat melalui sistem eNTRI sebagai salah satu langkah kawalan oleh kerajaan melalui imigresen yang akan membuat pemantauan dan verifikasi ke atas pelancong yang menggunakan kemudahan tanpa visa ini," menurut kenyataan itu.

Selain itu, selepas pulang ke negara asal, pelancong juga tidak dibenarkan kembali ke Malaysia selama 45 hari bagi mengelakkan faedah pengecualian visa ini disalahgunakan.

"Selain itu, pelancong juga dikenakan syarat supaya permohonan semula melalui eNTRI hanya boleh dilaksanakan selepas 45 hari dari tarikh pelancong tersebut keluar dari Malaysia," kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu dikeluarkan kementerian berkenaan susulan terdapat cubaan pihak tertentu yang mengaitkan kemudahan pengecualian visa tersebut dengan isu pelancong China yang tinggal lebih masa di negara ini.


Tag: Visa, China, India, Kementerian Dalam Negeri, pelancong, Malaysia, warga asing, Imigresen, Electronic Travel Registration and Information, eNTRI, Muhyiddin Yassin



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.