Pelanggaran Bahasa Melayu: Draf pindaan Akta Bahasa Kebangsaan beri kuasa DBP bertindak

Pelanggaran Bahasa Melayu: Draf pindaan Akta Bahasa Kebangsaan beri kuasa DBP bertindak
Sebelum Merdeka, semua pihak bersetuju Bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan dan menurut Penyata Razak, bahasa Melayu adalah bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara.
GEORGE TOWN: Draf pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang memberi kuasa kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam penguatkuasaan undang-undang berkaitan penggunaan Bahasa Melayu dijangka siap sepenuhnya akhir tahun ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran pada Jumaat berkata tujuan pindaan akta tersebut ialah kerana terdapat banyak pelanggaran terhadap Akta berkenaan dan Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan.

"Kita lihat sekarang ini dalam majlis-majlis rasmi kerajaan ada yang menamakan program kerajaan dalam bahasa Inggeris, umpamanya program Food Bank sedangkan ia ada namanya dalam bahasa Melayu iaitu Bank Makanan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menghadiri Majlis Jamuan Teh bagi meraikan pelantikannya sebagai Ketua Pengarah DBP dan sempena sambutan ulang tahun kelahiran seniman agung negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ke-90 tahun di sini .

Majlis itu dianjurkan oleh Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Kelab Peminat P.Ramlee Pulau Pinang, Gabungan Persatuan Kebudayaan Dan Kesenian Melayu Pulau Pinang Dan Pertubuhan Amanah Warisan Melayu Pulau Pinang. Turut hadir Presiden Pemenang Tan Sri Mohd Yussof Latiff.

Abang Sallehuddin berkata pada masa kini terdapat kerisauan dalam kalangan masyarakat apabila semangat kemerdekaan tidak dihormati dan terdapat pihak yang cuba mempertikaikan perjanjian dan persefahaman yang dicapai bersama sewaktu mencapai kemerdekaan dahulu.

"Sebelum kita merdeka dahulu sudah dipersetujui oleh semua pihak bahawa Bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan dan kalau kita lihat dalam Penyata Razak, bahasa Melayu itu adalah bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara, maka kita perlu pertahankan bahasa rasmi," katanya.

Beliau berkata draf akta berkenaan apabila siap sepenuhnya akan dibawa kepada Kabinet dan sekiranya diluluskan ia akan akan dibentangkan ke Parlimen.

-- BERNAMA