Pelantikan Datuk Jawahar Ali Taib Khan sebagai Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) yang baharu merupakan petanda baik kepada kempen Sokong Peniaga Pembayar Zakat (SPPZ).

Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, ini kerana Presma yang mempunyai lebih 4,000 ahli terdiri daripada pengusaha restoran muslim telah memperoleh jualan hampir mencecah RM10 bilion tahun lepas.

Menurut Nadzim, komuniti SPPZ yang tergolong daripada pengguna dan usahawan akan mendapat tempias apabila Presma membuka ruang perniagaan kepada golongan usahawan Muslim untuk membekal bahan mentah dan keperluan restoran Muslim di seluruh Malaysia.

"Ini memberi peluang kepada Gerakan Tunai Zakat (GTZ) untuk membekal barangan kepada Presma dan seterusnya menjamin kualiti produk makanan di restoran Muslim negara.

"Kami amat menggalakkan semua usahawan untuk berdaftar dengan SPPZ untuk meluaskan lagi jaringan perniagaan sesama umat Islam di Malaysia dan luar negara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Jawahar Ali yang merupakan pemilik rangkaian Restoran Ali Maju meluahkan rasa syukur dan bersedia menggalas tanggungjawab sebagai Presiden Presma yang baharu.

"Presma akan menjadi mata dan telinga kepada kerajaan, memainkan peranan bersama PPIM bagi memastikan isu kepenggunaan ditangani dengan baik," katanya.

Untuk rekod, Jawahar Ali turut menyandang jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi PPIM, Penasihat PPIM dan merupakan rakan strategik kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Pada Mac tahun lepas, PPIM telah bekerjasama dengan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan melancarkan kempen SPPZ yang bertujuan menggalakkan pembayaran zakat terutamanya zakat perniagaan dalam kalangan peniaga dan pemilik syarikat. - BERNAMA