Seorang warga Belgium yang dilaporkan hilang semasa menyertai Larian International Hash Challenge pada Sabtu ditemukan mati di bawah cerun Bukit Tarik berhampiran Kampung Orang Asli Kerling, Kuala Kubu Bharu pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata mayat Thomas Jean Francois, 34, ditemukan kira-kira 9.55 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat yang memulakan kerja mencari pada pukul 8 pagi selepas operasi itu ditangguhkan pada pukul 7.30 malam tadi ekoran cuaca gelap.

"Francois merupakan antara 88 peserta yang mengambil bahagian dalam acara larian itu yang bermula di Ladang Rasa pukul 7 pagi dan berakhir di Lembah Beringin pukul 7.30 malam kelmarin," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohd Sani berkata seramai 88 orang termasuk 68 lelaki dan 20 perempuan mengambil bahagian dalam larian itu yang larian tersebut perlu melalui beberapa 'water point' melibatkan water point di Rasa, Kuala Kubu Bharu dan Kerling.

Katanya kesemua peserta lain sampai di garisan penamat, di Lembah Beringin kecuali Francois.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat, katanya.