Pelarian Rohingya 'dijual seperti ikan' oleh sindiket pemerdagangan manusia

Pelarian Rohingya 'dijual seperti ikan' oleh sindiket pemerdagangan manusia
Situasi pelarian Rohingya diibaratkan seperti sudah jatuh ditimpa tangga apabila 'ejen' yang kononnya mahu membela nasib etnik itu rupa-rupanya merupakan sindiket pemerdagangan manusia. - gambar hiasan
“JIKA saya tidak dapat membayar mereka, mereka menuang air mendidih pada kepala dan badan saya.”

Itu kata-kata seorang pelarian Rohingya, Rahim Ullah, yang terselamat daripada penderaan ‘ejen’ yang berjanji membawa mereka meninggalkan negara asal mereka bagi mencari kehidupan baharu di Malaysia dan Thailand.

Situasi mereka diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga apabila ‘ejen’ yang kononnya mahu membela nasib etnik Rohingya rupa-rupanya merupakan sindiket pemerdagangan manusia yang bukan sahaja mendera mereka, malah menjadikan mereka sebagai kuli paksaan di kem terpencil di sepanjang sempadan Malaysia – Thailand.

Penyeludup tersebut menyumbat pelarian dalam kapal penangkapan ikan dan tidak memberikan bekalan makanan dan minuman yang mencukupi kepada mereka.
Dalam sesetengah kes, ada juga yang merogol dan membunuh mereka.

Jika ingin dibebaskan, mereka perlu membayar wang tebusan sebanyak RM6,800 seorang.

Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Fortify Rights yang berjudul ‘Sold Like Fish’ mendokumentasikan bagaimana penyeludup tersebut membunuh dan menyebabkan kematian ramai pelarian serta menanam mayat mereka dalam kubur beramai-ramai.

“Terdapat kematian setiap hari. Ada hari yang ramai, ada hari yang kurang. Tetapi ada kematian pada setiap hari,” kata wanita etnik Rohingya, Noor Begum, yang terselamat daripada kem pemerdagangan manusia yang mengerikan itu.

Pada April 2015, pihak berkuasa Thailand menemui 30 mayat yang dipercayai mangsa pemerdagangan etnik Rohingya dan Bangladesh di kubur beramai-ramai di kem sementara berdekatan sempadan Malaysia.

Sebulan kemudian, Polis Diraja Malaysia menemui 139 kubur dan 28 kem yang disyaki terlibat dalam sindeket tersebut di Wang Kelian, Perlis, Malaysia.

Pesuruhjaya SUHAKAM, Jerald Joseph menegaskan bahawa mangsa yang terlibat dalam sindiket ini banyak menderita dan kenayah sebegini tidak patut berlaku di Malaysia.

“Laporan ‘Sold Like Fish’ menyediakan bukti baharu dan kita berharap ia dapat memberikan keadilan kepada mangsa-mangsa, menghukum penjenayah dan mampu membawakan pembaharuan dasar bagi mengukuhkan respons Malaysia dan serantau terhadap isu pemerdagangan manusia,” tegas Joseph.

‘Sold Like Fish’ merupakan laporan berdasarkan penyiasatan yang dijalankan bertahun-tahun yang merangkumi temu bual dengan 270 saksi, mereka yang terselamat, penjenayah dan pegawai kerajaan dari 2013 hingga 2019.

Ia mendokumentasikan jenayah pemerdagangan manusia terhadap pelarian wanita, lelaki, kanak-kanak di laut dan di kem pemerdagangan manusia di Malaysia dan Thailand.

Tag: Rohingya, pelarian, SUHAKAM, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Fortify Rights, Sold Like Fish, Wang Kelian, sindiket, pemerdagangan, manusia


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.