Tutup

Pelawat ke Thailand dinasihati fahami larangan dan undang-undang asas terlebih dahulu

Pelawat ke Thailand dinasihati fahami larangan dan undang-undang asas terlebih dahulu
Mohd Afandi Abu Bakar (dua kiri) ketika menghadiri bengkel 'How to Ride and Drive Safe in Thailand' dan kempen 'Share and Aware' di Songkhla, Thailand, baru-baru ini. --fotoBERNAMA
SONGKHLA: Rakyat Malaysia yang berhasrat melancong ke Thailand dengan memandu atau menunggang motosikal harus mempunyai pengetahuan asas undang-undang serta larangan di negara itu bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

Konsul Jeneral Malaysia di sini, Mohd Afandi Abu Bakar berkata lima perkara utama harus dipatuhi pengunjung ke Thailand termasuk larangan merokok di pantai-pantai popular di Thailand, larang membawa masuk e-cigarettes atau vape, dan larangan membawa alat perhubungan 'walkie-talkie'.

"Bagi yang memandu atau menunggang motosikal pula, mereka digalakkan membeli insurans dan mengisyithar kenderaan di pintu masuk. Mengetahui undang-undang asas serta larangan yang dilaksanakan di Thailand adalah penting agar pengunjung boleh merancang perjalanan selain terlindung sekiranya berlaku sebarang musibah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam satu bengkel "How to Ride and Drive Safe in Thailand" anjuran Malaysia-Thailand Riders Association (MALTHA) yang diadakan di sini baru-baru ini, khusus bagi meningkatkan kesedaran di kalangan pemandu dan penunggang motosikal Thailand, Malaysia dan Singapura.
Sementara itu Timbalan Gabenor Songkhla, Rachit Sudpoom yang ditemui di majlis yang sama, menyambut baik penganjuran bengkel itu, dan berkata pelancong harus menghormati undang-undang negara itu serta adat istiadat masyarakat tempatan.

"Dalam bengkel ini kami juga memberi taklimat berhubung proses untuk mendapatkan keadilan sekiranya dihadapkan ke mahkamah di sini," katanya.

Disember lepas, seorang pemandu pelancong rakyat Malaysia ditahan di penjara Nathawee kerana memiliki walkie-talkie ketika membawa tujuh pelancong, dan hasil pemeriksaan juga mendapati kenderaan yang dipandunya tidak mempunyai permit di samping melakukan pelbagai kesalahan lain.
Selain itu, seorang rakyat Malaysia terkandas di Krabi, Thailand apabila terlibat dalam satu kemalangan jalan raya dan menyebabkan seorang penjalan kaki warga Thailand maut.

Abd Wahab Yahya tidak dibenarkan meninggalkan Thailand dan pasportnya juga diambil pihak berkuasa sementara menunggu tarikh perbicaraan, selain perlu membayar pampasan kepada keluarga si mati yang berjumlah RM200,000.

-- BERNAMA