Pemakaian tudung oleh pekerja Islam tidak akan menjejaskan sesebuah destinasi pelancongan terutama di negeri ini, sebaliknya sikap dan disiplin dalam menjalankan tugas adalah keutamaan dalam memastikan perkhidmatan berkualiti, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata pengusaha destinasi pelancongan perlu memastikan perkhidmatan yang ditawarkan memenuhi kehendak pelanggan, dan kualiti kerja pegawai khidmat pelanggan dalam menyalurkan perkhidmatan di kaunter destinasi pelancongan itu tidak boleh dinilai melalui tudung semata-mata.

Justeru katanya tindakan melarang pekerja wanita Islam memakai tudung disifatkan sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima dan tidak boleh terjadi di destinasi pelancongan di dalam atau luar negara, malah ia merupakan pemikiran tertutup yang boleh menjejaskan destinasi pelancongan negara.

"Sekiranya pihak pengurusan mengarahkan pekerjanya untuk membuka tudung dan melarang individu itu daripada memakainya, namun perkhidmatan yang diberikan tidak menepati kehendak pelanggan, itu boleh dianggap sebagai diskriminasi yang menjejaskan pelancongan di negeri dan negara ini.

"Penilaian mestilah berdasarkan kepada kualiti perkhidmatan yang ditawarkan. Jika memakai tudung dan individu itu memberikan perkhidmatan yang baik, itu adalah asas kepada kualiti pekerja di destinasi pelancongan tesebut," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Ayer Keroh di sini pada Khamis.

Akhbar hari ini melaporkan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar menyarankan agar pihak berkuasa tempatan menarik balik lesen pengusaha hotel yang tidak membenarkan pekerja wanita Islam memakai tudung semasa bertugas.

Sementara itu, Idris berkata Perkhidmatan Monorel Melaka di Sungai Melaka yang beberapa kali dihentikan operasinya akibat masalah teknikal sebelum ini, dijangka kembali memulakan operasi dalam waktu terdekat.

"Kita sedang menunggu pengesahan daripada ketua jurutera sama ada satu lagi nilai tambah produk pelancongan di negeri ini selamat dinaiki oleh pelancong domestik ataupun antarabangsa," katanya.

Perkhidmatan Monorel Melaka yang memiliki landasan sepanjang 1.6 kilometer dirasmikan bekas Ketua Menteri Tan Sri Mohd Ali Rustam pada 20 Okt 2010 sempena hari pengisytiharan Melaka Maju 2010.

Bagaimanapun, selepas setahun beroperasi, perkhidmatan itu tergendala susulan dua penumpang yang juga pelancong dari Britain terkandas pada 1 Nov 2011.

-- BERNAMA