Seorang pemancing yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaikinya bersama empat yang lain terbalik di Empangan Semenyih, malam tadi, ditemui lemas.

Mayat Amer Nur Rashid Dzulrashid, 28, seorang anggota Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di dasar empangan berkenaan pada pukul 11.26 pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi mencari dan menyelamat mangsa sebaik menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 11.48 malam tadi.

Katanya ketika dihubungi di sini hari ini, beliau berkata dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, mangsa bersama empat rakannya dalam perjalanan ke Pulau Pasir Putih, di Empangan Semenyih untuk memancing sebelum bot yang dinaiki terbalik.

Empat rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing pulau berkenaan, sebelum menyedari mangsa hilang.

"Sebelum itu, bot yang sama telah membawa lima lagi rakan mangsa menyeberang ke pulau berkenaan.

"Operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan sejak awal pagi tadi manakala sembilan rakan mangsa yang berusia antara 21 hingga 38 tahun itu berjaya diselamatkan pada pukul 6.58 pagi tadi," katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kajang untuk bedah siasat.

-- BERNAMA