Pemandu bas RapidKL yang merempuh beberapa kenderaan di ibu negara malam tadi disahkan dibawah pengaruh dadah jenis syabu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, setakat ini polis menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 47 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kini ada dua siasatan polis, bukan di bawah Kontinjen Kuala Lumpur sahaja tetapi disiasat oleh Kontinjen Selangor juga di bawah IPD Ampang kerana insiden di dua tempat – di kawasan Ampang dan juga Jalan Ampang.

"Kes ini masih dalam siasatan, namun ia disahkan pemandu bas tersebut berada dalam kawalan dadah ketika dia memandu," katanya dalam satu sidang media hari ini.

BACA: Rempuhan bas: Rapid Bus tubuh pasukan khas untuk tuntutan insurans

Mengulas mengenai kejadian pemandu bas dipukul orang awam, Mazlan berkata siasatan hanya akan dilakukan sekiranya pemandu bas itu membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Jsiasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Zulkefly Yahya berkata, pihaknya sedang mengambil keterangan pemandu bas berusia 32 tahun itu sebaik selesai menerima rawatan di Hospital Ampang tengah hari tadi.

BACA: Pemandu bas rempuh kereta ditahan, sedang dirawat

Lelaki berkenaan dimasukkan ke hospital kerana mengalami kecederaan di kepala akibat dipukul orang awam yang menangkapnya semalam.

Semalam, satu video tular dalam media sosial menunjukkan beberapa penunggang motosikal mengejar sebuah bas henti-henti RapidKL.

Bas rempuh beberapa kenderaan

Menerusi rakaman itu, bas terbabit dilihat berada dalam keadaan laju dan dipandu secara berbahaya sehingga merempuh beberapa kenderaan.

Sejurus selepas kemalangan itu, satu sidang media dibuat oleh Ketua Pegawai Operasi RapidKL, Shamsul Rizal Mohd Yusof.

Shamsul Rizal berkata, pemandu tersebut telah berkhidmat selama dua tahun dan mempunyai rekod kerja yang baik.

Beliau turut meminta maaf kepada orang ramai akibat insiden tersebut.

RapidKL mohon maaf