Kementerian Pengangkutan memberi tempoh tiga bulan bermula hari ini kepada semua pemandu e-hailing yang masih belum memenuhi syarat untuk meneruskan operasi.

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata, tempoh berkenaan merupakan penguatkuasaan yang dilaksanakan secara 'soft-landing' di samping memberi nasihat dan amaran kepada pemandu supaya memenuhi syarat ditetapkan termasuk memiliki Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).

"Untuk tempoh masa tiga bulan mulai 12 Julai, 2019, mana-mana pemandu yang memandu tanpa lesen PSV atau memandu dengan tidak mematuhi syarat kenderaan, akan diberi nasihat, pendidikan dan amaran akhir," katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di kementeriannya di sini hari ini, iaitu hari terakhir bagi pemandu e-hailing untuk memohon lesen PSV.

Sebelum ini, Loke dilaporkan berkata, mulai Julai 2019, semua pemandu perkhidmatan e-hailing perlu menduduki kursus dan memperoleh lesen PSV sama seperti yang diwajibkan ke atas pemandu teksi.

Ia adalah sebahagian langkah kerajaan untuk mengawal selia industri perkhidmatan e-hailing dan mewujudkan persekitaran yang sama rata seperti perkhidmatan teksi.

BACA: "Beri tempoh 30 hari lagi kepada pemandu e-hailing"

Katanya, tempoh tiga bulan yang diberikan adalah bagi memberi peluang kepada semua pemandu e-hailing untuk memenuhi syarat yang dikenakan, meskipun tarikh akhir tersebut telah diumumkan sebelum ini.

"Kita tahu ramai pemandu menjalankan proses ujian PSV itu. Kita sudah menjangkakan dan meminta pemandu jangan ambil pada saat-saat akhir.

"Kita lihat menjelang 12 Julai, ribuan pemandu mengambil kursus ini dan proses masih berjalan.

"Pelbagai pihak memberi pandangan, tetapi penguatkuasaan bermula hari ini dan tidak ada penangguhan," katanya.

BACA: Lesen PSV pemandu e-hailing: Sambutan masih kurang

Tambahnya, beliau telah meminta Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan supaya menjalankan penguatkuasaan secara berhemah.

Menurut Loke, sehingga kini, sebanyak 31,731 calon telah mendaftar untuk menduduki kursus dan ujian PSV di 226 institut memandu (IM) seluruh negara.

"Secara keseluruhan, jumlah calon yang telah lulus ujian PSV adalah sebanyak 22,981 orang," katanya.

Daripada jumlah itu, sebanyak 25,248 calon telah melengkapkan sesi kursus dan 19,891 calon telah lulus ujian PSV.

Sebanyak 16,528 calon telah menghadiri kursus yang dijalankan oleh syarikat perniagaan pengantaraan (eHO).