Tanda tanya seorang pemandu Grab yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu 'hampir' terungkai dengan penemuan mayat di kawasan semak berhampiran Shahbandar, Tuaran, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, pihaknya berjaya menahan dua penumpang terakhir yang menggunakan perkhidmatan Grab mangsa dengan identiti mereka dikenal pasti sebagai seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing.

Beliau berkata, kedua-dua suspek berusia 20 dan 24 tahun itu ditahan di kawasan 1Borneo, Kota Kinabalu pada jam 9.50 malam tadi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah ketika  memberikan penerangan mengenai kes berkenaan, hari ini. - Foto Astro AWANI

Jelasnya, berdasarkan soal siasat awal, kedua-dua suspek mengaku terlibat secara langsung dalam kejadian itu dimana mangsa difahamkan disamun, sebelum dibunuh dan dibuang di kawasan semak berkenaan.

"Pihak kita telah menjalankan siasatan dalam kes ini, dengan kerjasama diberikan oleh pihak Grab telah menyalurkan maklumat tentang suspek yang telah menggunakan perkhidmatan kereta yang dipandu oleh si mati kali terakhir.

"Kita telah tangkap kedua-dua penumpang semalam, hasil pendedahan kedua-dua ini mereka mengaku, mereka yang terlibat membunuh pemandu Grab ini, mereka mendedahkan mereka membuang mayat pemandu Grab ini satu kawasan di Tuaran.

"Semalam juga, polis Tuaran menemui mayat ekoran maklumat diberikan orang awam, menemui mayat seorang lelaki di kawasan Shahbandar," katanya.

Bagaimanapun, polis masih belum dapat mendedahkan sepenuhnya keperincian mangsa memandangkan keluarga mangsa dilaporkan belum dapat mengesahkan identiti mayat berkenaan dimana ianya ditemui dalam keadaan sudah mereput.

"Jadi kita masih siasat sebab kita telah tunjukkan mayat ini kepada keluarga pemandu Grab tersebut, tetapi mereka tidak dapat mengecam, jadi kita guna avenue lain kita guna DNA, untuk kenalpasti mayat tersebut, untuk mendapatkan hubung kait sama ada mayat tersebut ada kaitan dengan keluarga pemandu Grab tersebut.

"Tetapi setakat ini, dua suspek yang kita tangkap ini telah mendedahkan bahawa mereka terlibat dalam kes ini, dan kita buat siasatan lanjut selepas ini dan kita pohon reman ke atas kedua-dua suspek pada hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu, pada Selasa.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Omar berkata, siasatan awal mendapati motif kes adalah samun namun pihaknya masih menyiasat secara menyeluruh.

Menurutnya, mengikut kronologi kes, pada 24 Mei lalu, kira-kira jam 4 pagi, mangsa, dikenali sebagai Mohd Hanafiee Jaafar,27, difahamkan mengambil dua penumpang berkenaan di kawasan Kingfisher, Kota Kinabalu ke daerah Tuaran, sebelum dilaporkan hilang.

Susulan kehilangan mangsa, keluarga dan rakan pemandu Grab itu memuatnaik status kejadian tersebut sehingga tular di laman sosial.

Insiden berkenaan berakhir tragedi selepas penemuan kereta dipandu mangsa di kawasan Indah Permai, Sepanggar, kira-kira jam 12.30 tengah malam Ahad lalu di mana keadaan kereta mangsa dilaporkan mempunyai kesan darah.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.