Polis menahan seorang pemandu dan seorang kelendan lori selepas menemui satu paket plastik lutsinar berisi bahan yang disyaki dadah jenis Methamphetamine.

Suspek yang berumur 30 dan 36 tahun ditahan ketika melalui sekatan jalan raya di Jalan Kampung Timah, Tanjung Tualang jam 12 tengah hari Ahad.

Ujian air kencing mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Ahmad Adnan Basri berkata, ketika ditahan, lori yang mereka naiki datang dari arah Tapah Road menghala ke Chemor untuk mengambil buah kelapa sawit.

“Hasil siasatan awal mendapati kelendan itu mengaku dadah yang dirampas adalah miliknya manakala pada pemandu tidak dijumpai apa-apa dadah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, polis turut merampas satu sarung hitam kecil, seluar pendek yang dipakai suspek, sebilah gunting dan satu botol kaca yang telah diubahsuai.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPP) 2020.