Remaja perempuan yang memandu melawan arus dan menyebabkan kemalangan maut di Kilometer 134 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat sini dipercayai terlibat dalam kemalangan awal membabitkan tiga kenderaan lain berhampiran Plaza Tol Sungai Dua.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata remaja berusia 19 tahun yang didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah itu bergesel dengan tiga kenderaan ketika membuat pusingan U di Kilometer 128 sebelum bertindak memandu melawan arus sejauh lima kilometer.

Katanya, suspek yang berasal dari Taman Desa Murni itu sepatutnya memasuki susur keluar Sungai Dua untuk pulang ke rumahnya, namun disebabkan ‘khayal’, suspek telah terlajak ke hadapan berhampiran tol.

“Selepas kemalangan awal, dia terus pandu melawan arus pada kelajuan tinggi dalam 128 ke 134 kilometer sejam sejauh 5 kilometer dari tol hingga ke persimpangan Mak Mandin dan Sungai Dua.

“Lalu bertembung pula dengan kereta Kelisa dinaiki oleh si mati menyebabkan kereta si mati melanggar motosikal dan tiga buah kenderaan lain iaitu Hyundai, Kenari, dan sebuah van kilang,” kata Nik Ros Azhan.

Siasatan mendapati suspek baru sahaja pulang daripada berhibur bersama rakan-rakannya di sebuah kelab di Bukit Mertajam.

Suspek juga dikatakan mendakwa membuat membuat pusingan U kerana ternampak sebuah lori di hadapannya.

“Kita telah ambil sampel darah untuk ujian kandungan alkohol kerana kita dapati dia dalam keadaan khayal dan kita juga buat ujian urin.

“Saringan awal narkotik mendapati dia positif amphetamine,” tambahnya.

Sehubungan itu, polis akan mengambil keterangan rakan-rakan suspek bagi melengkapkan siasatan.

Menurut Nik Ros Azhan, pihak polis telah menerima tujuh laporan polis berhubung kemalangan itu di mana empat laporan di buat di Balai Polis Seberang Perai Tengah, manakala tiga lagi di IPD Seberang Perai Utara.

Lapan saksi iaitu orang awam yang menyaksikan kejadian itu sudah tampil memberi keterangan kepada pihak polis.

Polis juga sudah meneliti rakaman video yang tersebar termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan.

Bagi kes ini, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kejadian kira- kira jam 7.50 pagi Selasa, suspek yang memandu kereta Proton Gen-2 didakwa memandu secara berbahaya dengan melawan arus dari arah Plaza Tol Sungai Dua menghala ke Butterworth sebelum bertembung dengan sebuah kereta Perodua Kelisa yang menyebabkan pemandunya maut.

Pada masa sama, kereta Proton Gen-2 itu terbabas dan berpusing sebelum melanggar tiga kenderaan lain termasuk sebuah van kilang.