Takut ditahan kerana memiliki dadah, seorang pemandu lori bertindak nekad menghimpit dan merempuh kereta polis sebelum melarikan diri dengan memecut laju lori dipandunya.

Dalam kejadian di Jalan Lunas, Kulim pada jam 12.30 tengah malam tadi, dua anggota polis dari Balai Polis Lunas yang sedang membuat rondaan berasa curiga dengan kenderaan dipandu seorang lelaki dan kemudian mengarahkannya supaya memberhentikan kenderaan.

Suspek bagaimanapun memecut menuju ke Kubang Semang sebelum berpatah balik ke Jalan Sungai Lembu.

Dalam usahanya meloloskan diri, suspek beberapa kali menghimpit dan cuba merempuh kenderaan polis.

Melihatkan keadaan suspek yang agresif, polis kemudiannya meminta bantuan Unit MPV, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim.

Kepungan dibuat di Jalan Taman Machang Manis, Lunas dan suspek berusia 45 tahun itu berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Nasser Jaafar berkata ketika pemeriksaan dibuat, polis menemukan sebilah parang panjang berukuran 44 sentimeter panjang yang diletakkan di tempat duduk penumpang.

Polis turut menemukan satu paket plastik lut sinar berisi dadah jenis syabu dengan angaran berat 0.43 gram di dalam poket seluar suspek.

Pemeriksaan lanjut turut mendapati cukai jalan lori serta lesen memandu suspek tamat tempoh.

Suspek kemudian dibawa ke IPD Kulim untuk siasatan lanjut.

Saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu.