Seorang pemandu lori yang membawa muatan ubi keledek, maut selepas kenderaan yang dibawanya merempuh sebuah treler muatan simen yang rosak di Kilometer 256, Lebuhraya Utara Selatan arah utara pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira 11.15 pagi itu, mangsa, Aminordin Basiron, 58, beralamat di Kangar, Perlis, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner, Razali Ismail berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila lori mangsa dipercayai dilanggar oleh sebuah lori lain di lorong sebelah kanan.

“Ia menyebabkan lori mangsa hilang kawalan sebelum melanggar belakang treler muatan simen yang ketika itu berhenti di kiri bahu jalan kerana mengalami kerosakan.

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa tersepit dan disahkan maut di lokasi kejadian manakala pemandu treler tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Polis sedang mengesan saksi bebas yang melihat kemalangan tersebut.

Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.