Kerajaan bersetuju untuk memindakan Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan maut.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memberitahu, pindaan itu melibatkan Sekyen 41 hingga 45 akta berkenaan yang akan menyaksikan perubahan dalam tiga komponen iaitu kadar denda, hukuman penjara dan tempoh penggantungan lesen memandu.

Antaranya cadangan yang dikemukakan katanya, adalah menjadikan hukuman penjara sebagai mandatori.

"Jemaah Menteri yang bersidang pada 24 Jun telah bersetuju secara dasarnya untuk membuat pindaan akta tersebut supaya menjadi pengajaran kepada mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara melulu.

"Pindaan ini bertujuan untuk menjadi satu bentuk deterrence (pencegahan) dan pengajaran kepada orang ramai supaya mematuhi peraturan-peraturan jalan raya," katanya pada persidangan Dewan Rakyat ke-14 di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) mengenai isu pemandu mabuk yang disabitkan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah termasuk melibatkan kes yang menyebabkan kematian.

Mengulas lanjut, kata Ka Siong, berdasarkan kepada keputusan Jemaah Menteri tersebut, Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Peguam Negara telah menyemak draf Rang Undang-undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 dan draf RUU ini akan dibentangkan untuk persetujuan Jemaah Menteri pada Jumaat ini.

Selain daripada pindaan hukuman, katanya, kerajaan juga akan meminda had kandungan alkohol yang dibenarkan supaya selaras dengan piawaian yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketika menjawab soalan tambahan, beliau menjelaskan pindaan itu akan menyaksikan peningkatan kadar hukuman penjara dinaikkan dari 15 tahun kepada 20 tahun sementara denda maksimum daripada RM6,000 kepada RM150,000.

"Kalau sudah ambil alkohol, jangan memandu. Kita bukan ambil hak orang lain minum minuman keras, tetapi kita tidak mahu mereka mendatangkan kemudaratan kepada rakyat jelata," ujarnya.

Dalam menjawab soalan tambahan daripada Anthony Loke Siew Fong (DAP-Seremban), Ka Siong berkata, jumlah kematian yang diakibatkan oleh pemandu mabuk dicatatkan sebanyak 12 kes sepanjang tahun ini.

Ekoran itu katanya, kerajaan juga melihat keperluan untuk bidang menguatkuasaan undang-undang menangkap pemandu mabuk turut diperluaskan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Kita lihat polis menjalankan tugas dengan baik, mengapa tidak kita meluaskan pelaksanaan bidang penguatkuasaan terhadap pemandu mabuk kepada JPJ?

"Oleh itu, Kabinet bersetuju meluluskan bab menangkap pemandu mabuk diperluaskan penguatkuasaan kepada JPJ, berbanding sebelum ini hanya didiberikan kepada polis sahaja," katanya.