Seorang pemandu bas persiaran maut selepas bas yang dipandunya hilang kawalan dan merempuh dinding bangunan kedai pakaian terpakai dalam kemalangan di persimpangan Jalan Larut/ Hutton di Georgetown pada pagi Rabu.

Dalam kejadian pukul 5.50 pagi itu, mangsa, Lee Kim Thai, 64, dari Parit Buntar meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kemalangan berlaku sewaktu mangsa dalam perjalanan membawa 20 penumpang warganegara China dari sebuah hotel di Jalan Sultan Ahmad Shah menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTAPP).

Bagaimanapun, ketika melalui persimpangan jalan berkenaan, bas dipandu mangsa hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh dinding bangunan kedai itu.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala semua penumpang bas selamat dan tidak mengalami kecederaan dan meneruskan perjalanan ke LTAPP dengan bas lain kerana mahu menaiki penerbangan pulang ke negara asal," kata beliau.

Menurutnya mayat pemandu bas itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bagi menjalani proses bedah siasat.

Sementara itu, polis meminta orang ramai atau saksi yang melihat kejadian tampil memberi maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan.