Pertengkaran antara dua pemandu teksi di sebuah stesen minyak, di Jalan Sungai Besi, Cheras bertukar menjadi tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut di tempat kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed, pihaknya menerima panggilan 11.30 pagi, pada Selasa.

"Mangsa merupakan warga tempatan berusia 61 tahun telah bergelut dan bergaduh dengan suspek juga warga tempatan berusia 65 tahun.

"Rakaman awal percakapan saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah dibuat namun motif kejadian masih dalam siasatan," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.



Mengulas lanjut, Mohamed Mokhsein berkata, suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras untuk direman manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Mukhriz untuk bedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," jelasnya.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar di media sosial mengenai kejadian yang memaparkan seorang lelaki mempunyai kesan darah di baju manakala seorang lagi lelaki terbaring dengan berlumuran darah dipercayai bergaduh kerana memotong barisan untuk mengisi gas asli (NGV).